Saturday, May 14, 2011

Masih dalam mood Hari Ibu..............pesan Ustaz Pahrol , bacalah dengan kualiti jiwa, bukan kuantiti harta.....
 
Redha Allah terletak pada redha ibu-bapa. Semua orang pernah mendengar ungkapan ini. Namun, berapa kerat yang memahami tuntutannya? Dan berpada kerat pula yang telah menunaikan tuntutannya? Ibu-bapa yang telah tua memang menguji anak-anak. Maklumlah, akalnya sudah lemah, pertimbangannya jadi singkat. Kerenah orang tua sangat menguji anak-anak.

Berapa ramai yang menganggap ibu-bapa yang telah tua sebagai satu liabiliti dalam kehidupan kita. Pada hal mereka sebenarnya adalah satu aset yang sangat berharga dalam kehidupan kita. Menjaga ibu-bapa yang telah tua, bersabar dalam menghadapi kerenahnya sesungguhnya akan membuka pintu kerahmatan dan keberkatan daripada Allah swt.  
Ingatkah lagi kita tentang satu hadis panjang yang menceritakan kepada kita bagaimana tiga orang lelaki terperangkap dalam sebuah gua? Masing-masing memohon pertolongan daripada Allah melalui perantaraan (tawassul) amalan mereka. Salah seorang lelaki tersebut telah memohon kepada Allah melalui perantaraan amalannya yang berbakti kepada orang tua… dan pintu gua itu tergeser, petanda bantuan Allah tiba kerana amalannya terhadap orang tua.

Mengapa tidak kini kita gunakan kaedah yang sama? Bukankah banyak permasalahan dan beban hidup yang berat sedang atau akan kita tanggung? Salah satu kaedah untuk mengatasi dan menangani masalah tersebut ialah dengan berbakti kepada orang tua dan menjadikan kebaktian tersebut sebagai perantaraan berdoa kepada Allah. Dengan syarat kita berbuat demikian dengan hati yang ikhlas.

Berapa ramai penulis yang “terbantut” idea dan mindanya, lalu dia mengangkat tangan berdoa kepada Allah melalui perantaraan ketaatannya kepada ibu-bapanya? Atau ahli perniagaan yang dilanda masalah hutang atau merudumnya jualan, lalu istirahat seketika lantas berdoa meminta bantuan Allah melalui budi-baiknya terhadap ibu-bapa? Atau ahli politik yang diserang kiri dan kanan oleh musuh politiknya, mengambil sedikit masa untuk bermunajat kepada Allah melalui amalan baik terhadap kedua ibu-bapanya?

Ingatlah, ibu-bapa yang tua itu adalah satu aset. Kesusahan, kejemuan dan kebimbangan kita sewaktu menjaga mereka sebenarnya adalah mahar kepada sebuah ketenangan, keberkatan dan kejayaan dalam kehidupan. Namun sebaliknya, jika mengabaikan mereka itulah yang akan membuka kepada pintu kehancuran, keresahan dan kegagalan. Benar seperti yang pernah didendangkan oleh lagu lama, “ayah dan ibu wali-wali keramat.”

Ibu-bapa memang “wali keramat” kerana meminggirkan mereka (apatah lagi kalau sampai ke tahap menderhakai mereka) akan menyebabkan hidup kita terhijab (terhalang). Bukan sahaja kita orang awam ini, bahkan orang-orang Soleh sekalipun jika tersalah laku dengan ibu-bapa akan menerima padahnya. Lupakah kita kepada Juraij, seorang yang amat soleh (rajin uzlah dan beribadah) tetapi tertimpa malapetaka fitnah kerana tidak disenangi oleh ibunya.

Gara-gara begitu asyik dengan solat sunat, Juraij tidak menyahut panggilan ibunya. Ibunya sungguh terasa hati menyebabkan dia berdoa agar Juraij ditimpa fitnah. Benar, tidak lama kemudian Juraij difitnah berzina dengan perempuan jahat menyebabkan dia dihina dan disakiti oleh penduduk-penduduk setempat. Itulah bahananya mengecilkan hati ibu. Justeru, dari segi hukumnya, ajaran Islam menetapkan seseorang yang sedang bersembahyang sunat wajib menyahut panggilan ibunya setelah tiga kali panggilan itu diulang. Kenapa? Padahal solat itu hubungan dengan Allah, sedangkan menyahut panggilan ibu bapa itu hubungan sesama manusia? Apakah hak manusia lebih besar daripada hak Allah?

Tidak, bukan begitu. Sebenarnya itu didikan daripada Allah jua, agar seorang anak menjaga hubungan dengan ibu-bapanya semasa berhubung dengan Allah. Taat kepada Allah dan berbuat baik kepada kedua ibu-bapa ada kalanya dirangkaikan dalam ayat-ayat tertentu dalam Al Quran. Ya, jangan sampai mengejar cinta Allah, dengan mengabaikan cinta terhadap ibu-bapa. Yang setepatnya ialah cintailah ibu-bapa kerana mencari cinta Allah!

Bayangkan jika manusia sesoleh Juraij pun boleh ditimpa kesusahan kerana kesalahan yang boleh dikatakan kecil (berbanding kederhakaan anak-anak zaman ini) terhadap ibunya, apalagi kita. Kebaikan kita tidaklah setinggi dan sebanyak Juraij, sebaliknya kesalahan kita terhadap ibu-bapa kita lebih banyak daripadanya… Bila-bila sahaja kita boleh ditimpa malapetaka akibat kederhakaan ini. Dan mungkin kita tidak sedar, malapetaka itu telah pun menimpa kita.

Intai-intai dan telitilah kembali jalan hidup yang telah, sedang dan akan kita susuri ini. Berapa banyak halangan dan hambatan yang datang melanda. Berapa banyak kali kita kecundang? Apa yang dirancang kekadang sering tidak “menjadi”. Malang dan bencana datang timpa menimpa. Dicari sebabnya, dikaji puncanya, seakan-akan tidak terjumpa… mana tahu semuanya bahana derhaka kepada kedua ibu-bapa.

Dosa kita pada yang lain masih adalah istilah nanti dan tunggu. Tetapi dosa kepada ibu-bapa akan dibalas segera dan tiba-tiba. Sesetengah orang, hanya kerana dia telah menghulurkan bantuan ratusan malah ribuan ringgit sebulan kepada ibu-bapanya, dia telah menunaikan tanggungjawab… Jadi apabila ibu-bapanya “bersuara” sedikit, sudah berani dia membentak. Apa yang tidak cukup lagi? Apa lagi yang ibu hendak? Apa lagi yang bapa tidak puas hati?

Ingatlah, wang ringgit dan harta benda tidak akan mampu membalas jasa atau menebus bakti kedua orang tua kita. Bukan semua perkara dalam kehidupan ini boleh dibeli. Banyak perkara-perkara penting dalam hidup ini tidak boleh dinilai oleh kuantiti material dan fizikal yang kita ada. Antaranya, jasa dan bakti kedua ibu-bapa. Ia hanya boleh “dibayar” oleh kualiti jiwa bukan kuantiti harta.

Maksudnya, budi hanya dapat dibayar oleh budi. Jasa dengan jasa. Budi baik dan akhlak kita yang cantik sahaja dapat menyenangkan hati orang tua pada usia senja mereka. Layani mereka dengan baik, dengarlah cerita mereka (walaupun telah diulang berkali-kali), duduk berbual dengan mereka, membelai atau mengurut badan mereka dan yang paling penting sering menziarahi dan sentiasa berdoa untuk mereka.

Jangan lupa, satu hari kita juga akan melalui apa yang sedang lalui kini. Kita akan mencecah gerbang tua dan mengecap sisa-sisa umur dengan payah dan lelah seperti mereka… bagaimana kita saat itu? Tentukanlah nasib kita itu pada hari ini. Bagaimana? Taat, layan dan belai dengan penuh kasih sayang orang tua kita pada hari ini, insya-Allah anak-anak kita akan mengamalkan sikap yang sama terhadap kita pada akhir nanti.

Cerita dan nasihat ini bukan pertama kali kita dengar… tetapi semuanya diulang lagi kerana kita sering mengabaikan apa yang sering kita dengar. Kita sering menjadi umpama kelekatu yang melanggar lampu yang bercahaya sedangkan di bawahnya sudah begitu banyak kelekatu lain yang terkorban. Berapa banyak ikon anak derhaka dalam cerita rakyat seperti Sitanggang mahupun Malim Kundang yang kita benci dan caci, ironinya kita menjejak mereka tanpa kita sedari.

Sudah dianggap derhaka dengan mendecit perkataan “ah” kepada kedua ibu-bapa. Sudah dianggap melupakan mereka jika kita tidak mendoakan mereka selepas setiap kali mengerjakan solat. Sudah mengecilkan hati mereka jika sudah lama kita tidak menelefon ataupun menziarahi mereka di kampung… Oh, terlalu banyak kesalahan kita terhadap mereka. Dan apakah ini telah menyebabkan tertutupnya pintu kerahmatan dan keberkatan?

Rezeki banyak, tetapi tidak puas. Umur panjang, tetapi dipenuhi dosa. Masa lapang, tetapi hilang manfaat. Kesibukan yang memanjang, keresahan yang tidak berpenghujung mungkin sedang berlaku dalam hidup kita. Anak-anak degil. Isteri atau suami semakin degil dan tidak serasi… Apakah ini semua kerana dosa kita terhadap orang tua? Apakah Allah sedang murkakan kita?

Jika anda bertanya begitu, sila ulang baca ayat pertama pada awal tulisan ini!

SUMBER ILMU - USTAZ PAHROL MOHAMAD JUOI